May 2014 - Faiq Najmi

30 May 2014

SENARAI COKLAT TIDAK HALAL DAN HARAM DIMAKAN
May 30, 2014 3 Comments


Setelah dua jenis coklat keluaran Cadbury disahkan tidak halal dan mempunyai DNA babi, kini banyak lagi jenis coklat didedahkan “TIDAK HALAL” dan mempunyai unsur DNA babi.
Sebelum ini kecoh di laman sosial mengenai dua jenis produk keluaran Cabdbury iaitu Cadbury Dairy Milk dengan Kacang Hazel dan Cadbury Dairy Milk dengan Buah Badam disahkan mempunyai DNA babi.
Makluman ini disahkan sendiri oleh Kementerian Kesihatan Malaysia hasil daripada analisis ke atas dua jenis produk keluaran Cadbury itu.
Terbaru, terdapat beberapa keping lagi gambar keputusan analisis ke atas  coklat lain yang popular di Langkawi. Coklat yang dikesan mengandungi DNA babi adalah coklat jenama Frey, Mars, Hershey’s, dan Whittaker’s. Kesemua jenis coklat ini tidak mempunyai logo halal dan dijual di kawasan bebas cukai, Langkawi.
Jika sesiapa pernah ke Langkawi mungkin pernah terbeli salah satu senarai coklat tidak halal ini bukan? Sebelum ini tidak ada lagi timbul isu mengenai DNA babi atau lemak babi dan kita mungkin terlepas pandang perkara ini. Setelah timbul isu mengenai perkara ini kita seharunya lebih berhati-hati bagi mengelakkan lagi termakan makanan yang haram.
Satu langkah mudah untuk membeli coklat adalah meneliti dahulu logo halal pada sesuatu coklat itu. Jika tiada logo halal jangan memberanikan diri untuk membeli juga kerana dikhuatiri tidak halal dan mempunyai unsur haram.
Jika diteliti hasil analisis ini, syarikat yang mengimport coklat ini adalah dari syarikat milik Orang Melayu yang beragama Islam iaitu Perniagaan Hj Ismail Sdn Bhd. Persoalan disini, adakah syarikat yang mengimport coklat ini tidak meneliti dahulu kehalalan sesuatu produk itu?




Reading Time:

07 May 2014

Panduan Solat Qasar Dan Jama
May 07, 20140 Comments
Agama Islam itu sangat indah kerana memberikan kelebihan kepada para musafir untuk melakukan Solat Qasar dan Jama'. Jadi kita tiada alasan untuk tidak melaksanakan rukun islam yang kedua ini. 


Di sini saya ingin kongsikan Panduan Solat Qasar Dan Jama' yang disediakan oleh pihak JAKIM untuk pembaca blog ini. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua.

Solat Qasar
  • Maksud Solat Qasar adalah mengqasarkan (memendekkan) solat yang empat rakaat iaitu Zuhur, Asar dan Isya’ kepada dua rakaat sementara solat Maghrib dan solat Subuh tidak boleh diqasarkan.
  • Jarak dibenarkan Qasar 2 marhalah iaitu empat burudin di mana setiap burudin mempunyai empat farsakh dan setiap farsakh terdiri daripada 5514 meter mengikut kiraan moden. Dari itu, dua marhalah adalah bersamaan 89 kilometer.
  • Hukum Qasar Harus berdasarkan kepada dalil berikut :
Al-Quran surah al-Nisa’ ayat 101 yang bermaksud :  
“Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) solat jika kamu takut diserang oleh orang kafir…” 
Al-Sunnah yang bermaksud :
‘Ya’la bin Umayyah pernah bertanya kepada Umar bin al- Khattab, “Kenapa kita perlu mengqasarkan solat sedangkan kita berada dalam keamanan?” Lalu beliau menjawab, “Aku telah bertanya kepada Nabi s.a.w., dan Baginda bersabda, solat qasar itu adalah sedekah yang Tuhan telah bersedekah kepadamu, maka terimalah sekalian kamu akan sedekah- Nya” (Riwayat al-Nasa’i dan Abu Daud)
  
Syarat Solat Qasar
i. Hendaklah pelayaran atau perjalanan itu diharuskan oleh syara’.
ii. Jauh pelayaran atau perjalanan itu tidak kurang daripada dua marhalah (89 kilometer / 56 batu)
iii. Berniat qasar di dalam takbiratul ihram.
iv. Tidak berimam dengan orang yang solat tamam (sempurna)
v. Hendaklah solat yang diqasarkan itu terdiri dari solat empat rakaat.
Contoh niat

أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا لله تعالى

(Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat Qasar kerana Allah Taala)
Solat Jama’
  
i. Jama’ Taqdim iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Zuhur atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Maghrib.
ii. Jama’ Ta’khir iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Asar atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Isya’.
Syarat Solat Jama’ Taqdim
i. Hendaklah bersolat secara tertib iaitu mendahulukan solat Zuhur daripada solat Asar dan solat Maghrib daripada solat Isya'.
ii. Hendaklah niat Jama’ Taqdim di dalam solat pertama sebelum salam tetapi yang afdhalnya di dalam takbiratul ihram.
iii. Berturut-turut di antara solat yang dijama’kan itu.
iv. Berkekalan pelayaran atau perjalanan itu hingga takbiratul ihram solat yang kedua.
v. Berkeyakinan adanya waktu solat yang pertama (Zuhur atau Maghrib) berkekalan sehingga didirikan solat yang kedua (Asar atau Isya’).
Syarat Solat Jama’ Ta’khir
i. Hendaklah berniat jama’ dalam waktu pertama iaitu Zuhur atau Maghrib.
ii. Berkekalan pelayaran atau perjalanan hingga memberi salam solat yang kedua.
Contoh niat Jama' Taqdim
i. Jama’ Taqdim Empat Rakaat

أصلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى

(Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala)
ii. Jama’ Taqdim Berserta Qasar

أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى

(Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala)
Contoh niat Jama’ Ta’khir
i. Jama’ Ta’khir Empat Rakaat

أصلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إلى العصر اداء لله تعالى

(Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan kepada Asar tunai kerana Allah)
ii. Jama’ Ta’khir Beserta Qasar

أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إلى العصر اداء لله تعالى

(Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan kepada Asar tunai kerana Allah)

Reading Time: